Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam

Pekeliling Perkhidmatan bilangan 6 Tahun 2005 telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi menerangkan pelaksanaan Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam untuk pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia.

Pekeliling inilah yang mengandungi arahan berikut:

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 6 TAHUN 2005  

  1. Setiap Ketua Setiausaha Kementerian / Ketua Jabatan hendaklah memastikan anggota masing-masing di semua peringkat mengikuti kursus sekurang-kurangnya tujuh hari setahun;


Kita sering mendengar perkataan “kursus pembangunan kompetensi”. Apakah maksud kompetensi? “Kompetensi” merujuk kepada pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang perlu bagi melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab. Prinsip asas kompetensi adalah bahawa prestasi seseorang anggota perkhidmatan awam akan meningkat jika ia mempunyai semua kompetensi yang diperlukan bagi melaksanakan tugas atau tanggungjawab jawatan yang disandangnya; 


Tahukah anda perbezaan diantara kursus jangka panjang, jangka pendek, latihan dan kursus pembangunan diri? Lihat takrifan berikut:

1.   “Kursus Jangka Panjang” ialah kursus sepenuh masa yang tempohnya melebihi dua belas bulan kalendar termasuk hari kelepasan mingguan, kelepasan am dan cuti akademik; 


 

2.   “Kursus Jangka Pendek” ialah kursus sepenuh masa termasuklah lawatan sambil belajar, seminar atau bengkel yang tempohnya tidak melebihi tiga bulan kalendar termasuk hari kelepasan mingguan, kelepasan am dan cuti akademik; 


 

3.   “Kursus Jangka Sederhana” ialah kursus sepenuh masa yang tempohnya melebihi tiga bulan tetapi tidak melebihi dua belas bulan kalendar termasuk hari kelepasan mingguan, kelepasan am dan cuti akademik;

 

4.   “Latihan” bermaksud proses pemindahan ilmu pengetahuan secara kemas dan berdisiplin, bertujuan menambah pengetahuan dan kemahiran untuk memenuhi keperluan dan tuntutan semasa dalam organisasi. Ini dicapai melalui sebarang bentuk pembelajaran seperti kursus, latihan semasa bekerja dan program mentoring/coaching atau yang seumpama dengannya yang menyumbang kepada pembangunan individu dan kecemerlangan organisasi; 


5.   “Pembangunan Diri” merujuk kepada peningkatan kemahiran, kebolehan dan kerjaya yang dapat dicapai dengan mempraktikkan pengetahuan, pendedahan kepada pelbagai idea dan pengalaman serta melalui latihan dan mentoring; 


6.   “Pembelajaran Berterusan” ialah proses mendapatkan ilmu pengetahuan sepanjang hayat yang melibatkan tiga elemen utama iaitu latihan, pembelajaran dan pembangunan diri.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai dasar latihan ini, sila muat turun pekeliling ini.
Diperbaharui kali terakhir: Selasa, 18 April 2017, 12:22